Bersyukurlah dapat hidup di bumi bertuah Malaysia

KETIKA rakyat Malaysia yang berada di Mesir bergegas keluar dari negara yang sedang bergolak itu, rakyat Malaysia di sini menjalani kehidupan dengan aman damai. Kebetulan pula, Tahun Baru Cina muncul dan rata-rata warga Malaysia mengambil peluang cuti berganda untuk berkunjung ke rumah kenalan berbangsa Tionghua. Amalan kunjung mengunjung ini merapatkan lagi hubungan persahabatan sesama rakyat Malaysia.
Tidak terkecuali, ada yang mengambil kesempatan cuti panjang ini untuk melancong bersama keluarga di dalam negara. Jumlah pelancong ketika musim perayaan terlalu ramai. Di Langkawi sahaja, dianggarkan seramai 50,000 pelancong melawat pulau bebas cukai tersebut. Kesemua hotel dan calet habis ditempah. Kesesakan teruk ini nampak ketara pada Khamis lalu, apabila ramai pelancong terpaksa beratur berjam-jam menunggu giliran untuk menaiki feri di Jeti Kuala Kedah.
Itu belum termasuk kesesakan jalan raya di semua laluan masuk (selatan, utara dan pantai timur) ke Kuala Lumpur pada Ahad lalu. Menurut rakan penulis yang terpaksa menghantar adiknya sekeluarga kerana tiket bas habis dijual, mereka terpaksa mengharung perjalanan yang amat meletihkan selama hampir 12 jam dari Jitra ke Kuala Lumpur. Masing-masing mengambil peluang cuti panjang ini untuk berehat mahupun pulang ke kampung halaman.
Suasana sebegini menggambarkan betapa Malaysia sebuah negara yang aman damai. Rakyatnya yang berbilang kaum boleh bergerak ke mana sahaja destinasi yang diingini. Suasana ini tidak dapat dirasai di negara Mesir.
Rakyat Malaysia yang kebanyakannya pelajar di Mesir tidak sabar untuk pulang ke Malaysia. Mereka dibantu sepenuhnya oleh warga kerja yang diamanahkan untuk membawa mereka keluar dari negara bergolak tersebut. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan, usaha membawa rakyat Malaysia keluar dari Mesir tetap diteruskan. Yang penting, ketika ini ialah memastikan keselamatan warga Malaysia. Ada yang sanggup tidak bercuti dan bekerja 24 jam sehari semata-mata untuk membawa keluar secara besar-besaran rakyat Malaysia ke Jeddah, sebelum pulang ke tanah air.
Di sini, jelas kelihatan semua pihak saling bekerjasama bagi memastikan keselamatan kesemua warga Malaysia. Tetapi malangnya, masih ada segelintir tergamak mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya seperti 'dicampak ke Jeddah macam binatang'. Dari satu sudut, ia menggambarkan si polan itu langsung tidak menghargai bantuan yang diberikan. Usah kata ucapan terima kasih atau sekurang-kurangnya senyuman diberikan kepada rakyat Malaysia yang membantunya, kata-kata nista pula yang diucapkan.
Atau mungkin dari sudut lain, si polan ini terlalu rindukan kampung halaman yang aman damai lagi makmur, sehingga tidak dapat menerima kenyataan kekacauan yang berlaku di depan matanya. Kemakmuran dan keamanan yang dinikmati di Malaysia mungkin tidak pernah dihayatinya menyebabkan apabila berada dalam suasana yang kacau bilau, barulah menghargainya. Ini sudah lumrah hidup manusia, nikmat yang diperoleh jarang sekali dihargai kecuali nikmat ini ditarik balik, maka barulah ia teringat kembali nikmat tersebut.
Menyanggah kata-kata si polan tersebut, anak saudara penulis merupakan salah seorang mangsa krisis di Mesir. Beliau yang menuntut dalam jurusan perubatan mampu menelefon ibu bapanya sebanyak dua kali sehari dari Jeddah untuk memberitahu keadaan sebenar. Keadaannya cukup baik sekali terutama dari segi keselamatan dan makan minum.
Di sini timbul persoalan, apakah niat sebenar si polan yang mengeluarkan kata-kata nista tersebut? Sedangkan penulis percaya beliau merupakan seorang yang beragama Islam dan sepatutnya bersabar pada setiap masa, lebih-lebih lagi ketika susah. Tidakkah Islam mengajar umatnya berpuasa selama sebulan ketika Ramadan bertujuan melatih umatnya bersabar pada setiap masa?
Adakah si polan tersebut tidak memikirkan perasaan warga kerja rakyat Malaysia yang bekerja bertungkus-lumus 24 jam sehari membantu menyelamat pelajar Malaysia di Mesir termasuklah dirinya sendiri? Warga kerja ini bukan sahaja sanggup bekerja 24 jam sehari tetapi juga sanggup menggadai nyawa mereka sendiri.
Mungkin inilah kesannya apabila selama ini negara kita terlalu makmur dan aman damai sehingga ada yang tidak dapat menerima ujian ketika susah. Mereka bukan sahaja diselamatkan tetapi diberi segala bantuan termasuk kos membawa mereka pulang dari Jeddah dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Malahan, atas permintaan mereka, nasi lemak yang merupakan menu kegemaran rakyat Malaysia juga disediakan. Justeru itu, bersyukurlah nikmat keamanan dan kemakmuran yang kita peroleh selama ini. Nikmat ini boleh hilang begitu sahaja jika kita tidak bersyukur dan mempertahankannya. Ketika itu nasi sudah menjadi bubur untuk kita menghargainya. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan